169A, Jalan Seri Impian 1,
Taman Impian Emas,
Skudai, 81300 Johor.
KUALA LUMPUR 10 April - Lebih 150,000 pekerja asing yang bekerja di restoran dan kedai kopi tidak dapat pulang ke tanah air selepas visa tamat tempoh kerana pasport mereka dipegang oleh majikan.
Naib Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), A. Balasubramaniam berkata, pekerja berkenaan tidak berniat untuk tinggal melebihi tempoh tetapi telah dieksploitasi oleh majikan yang memegang pasport mereka dan enggan memperbaharui visa yang telah tamat tempoh.
"Sehubungan itu, MTUC mencadangkan kerajaan memberikan pengampunan khusus kepada kumpulan itu untuk kembali ke negara asal mereka," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Balasubramaniam mendakwa, pemilik restoran tidak serius untuk menggaji pekerja tempatan dan ini dicerminkan melalui tindakan mereka yang menawarkan gaji rendah dengan keadaan tempat kerja yang tidak selesa.
"Sebagai contoh, walaupun majikan mendakwa mereka menawarkan RM850 sebulan, ini bagi hampir 12 jam waktu bekerja dan bukannya lapan jam seperti termaktub dalam undang-undang buruh Malaysia," katanya.
Sementara itu, Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia menafikan dakwaan MTUC tersebut.
Ahli Jawatankuasa persatuan itu, M. Muneandy berkata, sebenarnya para majikan menyimpan pasport pekerja asing adalah kerana faktor keselamatan dan bukannya untuk tidak membenarkan mereka pulang ke negara asal.
''Dakwaan MTUC adalah salah. Lagi pun, hanya majikan yang boleh memperbaharui visa atau pasport pekerja yang telah tamat tempoh. Pekerja tidak boleh berbuat demikian tanpa bantuan majikan mereka.
''Saya berharap MTUC akan lebih peka dalam isu ini sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan hingga menyifatkan majikan restoran di negara ini sebagai golongan yang tidak berperikemanusiaan,'' katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Muneandy juga menolak dakwaan MTUC bahawa pemilik restoran tidak serius untuk menggaji pekerja tempatan.
''Kami memang mahu menggaji pekerja tempatan berbanding pekerja asing tetapi mereka yang tidak berminat.
''Pekerja tempatan tidak rela membersihkan restoran, mencuci pinggan mangkuk atau membersihkan tandas seperti yang dilakukan oleh pekerja asing.
''Dalam hal ini, MTUC tidak patut menyalahkan pemilik restoran. Kami sedia menggaji sesiapa sahaja yang berminat tetapi pekerja tempatan selalunya tidak tahan dengan persekitaran dan beban kerja di restoran,'' katanya.