169A, Jalan Seri Impian 1,
Taman Impian Emas,
Skudai, 81300 Johor.
KUALA LUMPUR 3 Sept. - Seramai 31 individu termasuk dua majikan warga tempatan yang menggaji warga asing ditahan dalam Operasi Program Penyelesaian Menyeluruh Terhadap Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P) di pekan Sungai Besi di sini hari ini.
Dalam operasi yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu, mereka yang ditahan terdiri daripada 25 lelaki dan seorang wanita warga Bangladesh serta tiga lelaki warga India.
Kesemuanya ditahan atas kesalahan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri selain menyalahgunakan pas lawatan sosial dan pas lawatan tamat tempoh untuk bekerja di negara ini.
Ketua Operasi Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Arshad Barkatullah berkata, operasi yang bermula pukul 1.30 petang itu berikutan aduan orang awam berhubung lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan itu yang rata-ratanya bekerja sebagai tukang jahit di beberapa premis menjahit pakaian uniform.
"Hasil risikan selepas menerima maklumat, kami memeriksa 15 premis di sekitar pekan Sungai Besi dan mendapati 11 daripada premis itu telah menggaji PATI.
"Kami turut menangkap dua majikan yang menggaji warga asing ini untuk dikenakan tindakan lanjut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau percaya, masih ada lagi majikan yang dapat meloloskan diri dan gagal dikesan dalam operasi terbabit.
"Sehubungan itu, beberapa operasi lain akan terus dilakukan dalam usaha menjejaki majikan yang masih berdegil dan menggaji warga asing," ujarnya.
Arshad berkata, majikan yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji warga asing yang tidak mempunyai pas bekerja.
Jika disabit kesalahan, ujarnya, golongan terbabit boleh dikenakan denda RM10,000 hingga RM50,000 bagi setiap pekerja yang digaji.
"Jika warga asing yang digaji melebihi lima orang bagi setiap premis, majikan juga boleh dikenakan sebatan.
"Kesemua PATI yang ditangkap pula akan dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Imigresen untuk menjalani proses dokumentasi," katanya.